Saturday, September 13, 2008

4 Golongan Di Bulan Puasa?

Sesetengah umat Islam anggap kewajipan ketika Ramadan sekadar adat, bukan ibadat

SEPANJANG bulan ini umat Islam berpuasa pada siang hari dan memperbanyakkan amal ibadat pada malamnya. Ramai yang berpuasa sebagai ibadat dan tidak kurang yang melaksanakannya sekadar memenuhi adat kebiasaan. Ada perbezaan antara ibadat dan adat.

Allah ketika mewajibkan puasa memberitahu bahawa fardu puasa sudah diwajibkan kepada umat terdahulu. Kepentingan puasa digambarkan dengan tujuannya iaitu untuk mencapai ketakwaan, penyerahan yang menyeluruh kepada Allah dan mencegah daripada melakukan kemaksiatan.

Menghayati ibadat puasa dengan sebenar-benarnya akan membawa seseorang kepada ketakwaan. Orang berpuasa secara ibadat yakin tujuan puasa dan sentiasa berusaha memelihara puasanya. Ibadat dilakukan dengan ikhlas sudah tentu memberi kesan dalam kehidupan.

Oleh itu, ketakwaan sebagai tujuan puasa menjadikan seseorang menjauhi kejahatan dan sentiasa melakukan ketaatan. Firman Allah yang bermaksud: "Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah sangat keras seksaannya." (Surah al-Baqarah, ayat 196)

Ibn Abbas berkata, ketakwaan itu adalah taat kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan berkata Mujahid pula, ketakwaan adalah taat dan tidak melakukan kemaksiatan, berzikir dan tidak melupakannya, bersyukur dan tidak mengkufurkan nikmatnya.

Imam al-Ghazali menyebut, ketakwaan sebagai membersihkan hati daripada dosa sehingga ia sentiasa lurus berhubungan dengan Allah. Ketakwaan kepada Allah menjadikan seseorang suka melakukan perintah-Nya dan takut terjebak dalam kemurkaan-Nya, sentiasa mensyukuri nikmat-Nya, memohon keredaan, doa dan keampunan.

Ketakwaan menambahkan ketinggian dan kemuliaan di sisi Tuhan dan manusia bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang mulia di sisi Tuhan kamu adalah orang yang bertakwa." (Surah al-Hujurat, ayat 3)

Ramadan adalah bulan diberkati. Sesiapa yang mengetahui fadilatnya akan merebut peluang pada bulan mulia ini dengan sebaik-baiknya untuk menambahkan keimanan dan ketaatan.

Ulama Syria, Mustafa al-Siba'iyy menggambarkan empat jenis manusia dalam menghadapi Ramadan iaitu:

  • Seseorang yang tidak banyak mengetahui mengenai Ramadan. Dia beranggapan datangnya Ramadan hanya menjadi penghalang bahkan tidak ada manfaatnya. Ramadan dipandang sebagai tradisi keagamaan semata-mata yang tidak memberi kesan positif baginya. Golongan ini tidak menunaikan kewajipan berpuasa.
  • Seseorang yang hanya memandang puasa Ramadan sekadar menahan lapar dan dahaga kerana dia sangat berkeinginan untuk tidak berpuasa bahkan mengolok-olokkan orang lain yang berpuasa. Dia berpura-pura berpuasa kepada orang yang tidak mengenalinya, tetapi secara terang-terang menampakkan kepada orang yang sejalan dengannya bahawa ia tidak berpuasa.

  • Seseorang yang hanya memandang Ramadan sebagai tradisi tahunan ditandai dengan hidangan melimpah sebagai kesempatan untuk berbual kosong sehingga fajar dan tidur siang sehingga terbenam matahari. Ia menjadi seorang yang pemalas melaksanakan tugasnya.

  • Seseorang yang memandang Ramadan sebagai saranan untuk memperbaiki fungsi jiwa manusia supaya jiwanya rela berkorban, melatih bersabar dan pendidikan yang mencerminkan ketakwaan.

    Inilah empat kategori manusia menghadapi Ramadan. Tanyalah diri, di manakah kita berada. Sesiapa menyambut Ramadan sebagai cara memperbaharui keimanan, pendidikan akhlak, memperkukuhkan rohani, mereka akan mendapat manfaat.

    Setiap Muslim yang berpuasa akan meningkatkan sikap taat, mengoptimumkan usaha meningkatkan perhambaan kepada Allah, bersikap rendah hati di bawah kebesaran-Nya, berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.

    Di samping itu, sesiapa yang memandang mengikut hawa nafsu, melakukan kezaliman, permusuhan dan saling membenci adalah kelemahan yang akan mematikan roh dan semangat untuk berpuasa.

    Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan keji tidak ada ertinya bagi Allah walaupun ia meninggalkan makanan dan minuman." (Hadis riwayat Bukhari)

    Nabi SAW pernah berpesan supaya orang yang berpuasa tidak mengeluarkan kata keji dan kotor. Di samping itu, jika orang mengajak kepada pembunuhan atau perkelahian, perlu kita menyebut, "sesungguhnya saya berpuasa."

    Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa adalah perisai, maka ketika di antara kamu sedang berpuasa maka hendaklah jangan melakukan tindakan keji dan menengking. Apabila ada seseorang yang mengumpat dan hendak membunuh kamu, maka katakanlah, "Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketulusan, Allah akan mengampunkan dosanya yang terdahulu." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud).

    Keimanan akan diperoleh selagi dia tidak bercampur dengan perkara fasik dan maksiat. Sesiapa yang berpuasa pada siang dan melakukan ibadat pada malamnya, akan mendapat keampunan sepanjang waktu daripada Allah. Inilah nikmat terbesar dijanjikan Allah pada bulan mulia ini.

    Orang yang berpuasa, doanya mustajab. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiga golongan yang mustajab doanya iaitu pemerintah yang adil, doa orang berpuasa ketika berbuka dan orang dizalimi yang tidak ada padanya dengan Allah hijab."

    Oleh itu, ketika berbuka, ingat untuk berdoa kepada Allah kerana waktu itu adalah mustajab doanya. Apabila duduk di hadapan hidangan, kamu bergembira maka itu adalah kegembiraan di dunia. Akan datang pula kegembiraan di akhirat ketika bertemu Allah kelak. Ramadan adalah bulan kegembiraan di dunia dan di akhirat.

    Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Di antara solat lima waktu, antara Jumaat hingga Jumaat lagi, antara Ramadan hinggalah Ramadan lagi itu dapat menghapuskan dosa apabila kamu menjauhi dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

    Penulis ialah pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan felo badan bukan kerajaan, Future Global Network.

  • DIPETIK DARI BERITA HARIAN ONLINE

    Wednesday, September 10, 2008

    Link to A WebSite..

    Dipetik dr saudara Ammar Amran di Shout Out Blog PMIUSM:
    "salam.mnta kerjasam pengunjung meneliti laman web in..link ..dan kemukakan sebab n asbab untuk kita ikut@tidak"

    Link web: http://al-habib.tripod.com/bantahan/